Topik Pilihan

Friday, July 29, 2011

Mungkinkah Kita Berpuasa dan Berhari Raya Serentak Seluruh Dunia

Umat Islam sekarang selalu dilanda dilema apabila munculnya bulan Ramadhan. Kita sering tertanya-tanya kenapa semua umat Islam di dunia ini tidak menyambut Ramadhan bersama-sama, atau perkataan yang lebih mudahnya ialah pada hari yang sama. Kita juga sering bertanya, kenapa perayaan atau hari kebesaran bagi umat Islam tidak sama seperti perayaan hari Krismas, tahun Baru Cina, Deepavali dan lain-lain perayaan lagi yang wujud di dunia ini. Permasalahan dalam menentukan awal Ramadhan bukanlah satu perkara yang baru, malah ia adalah satu permasalahan yang sering timbul dan tenggelam bila umat Islam menyambut ramadhan lebih-lebih lagi berhari raya. Namun ia sebenarnya satu cabaran bagai umat Islam mengkaji dan memahami sifat hilal itu sendiri.

Di sini saya akan berkongsi sebab-sebab, kenapa, mengapa dan bagaimana perbezaan sambutan awal Ramadhan di seluruh dunia ini boleh terjadi. Sebab-sebab terjadinya perbezaan ini saya bahagikan kepada dua sebab, yang pertama ialah kaedah penentuan awal bulan yang berbeza pada tiap-tiap tempat. Manakala sebab yang kedua ialah kerana perbezaan matlak.


Perbezaan kaedah penentuan awal bulan Ramadhan
Kaedah penetapan awal bulan Ramadhan yang berlainan mengikut kawasan menyebabkan terjadinya perbezaan permulaan puasa di setiap negara. Pada hari ini, kaedah yang digunakan di negara-negara Islam dalam menetapkan tarikh 1 Ramadhan adalah berdasarkan :
• Rukyah
• Hisab falak
• Rukyah dan hisab falak


Rukyah
Dalam masyarakat umat Islam, kaedah merukyah hilal atau melihat anak bulan merupakan perkara terpenting untuk menentukan permulaan awal bulan terutamanya Ramadhan dan Syawal. Namun, disebabkan kedudukan geografi sesebuah tempat, maka sambutan awal puasa dan hari raya berlaku pada hari yang berlainan mengikut tempat masing-masing. Faktor berlakunya perbezaan ini kerana pada suatu tempat, anak bulan tidak kelihatan semasa ia dirukyah tetapi di tempat lain ia kelihatan. Hal seperti ini sering terjadi di negara besar seperti India.
Sebagai contoh, merukyah anak bulan di Malaysia adalah suatu perkara yang agak sukar dilakukan kerana langit utamanya di sekitar ufuk sering dilindungi awan tebal. Tambahan pula, keadaan langit Malaysia yang sering mendung di waktu petang menyukarkan lagi usaha melihat anak bulan. Lebih menyulitkan apabila ketinggian anak bulan pada hari merukyahnya iaitu pada 29 Syaaban atau 29 Ramadhan adalah begitu rendah dan jarang melebihi 5°. Namun, bagi negara-negara di Asia Barat, anak bulan lebih mudah kelihatan kerana ketinggiannya dari ufuk adalah lebih tinggi dan umurnya yang lebih tua berbanding ketika ia kelihatan di Malaysia.

Hisab Falak
Bagi negara-negara Barat seperti Australia, Kanada dan Amerika Syarikat, mereka menggunakan hisab falak atau perhitungan astronomi sebagai dasar dalam menentukan kelihatan anak bulan. Dengan menggunakan kaedah ini, anak bulan dianggap sudah kelihatan selepas berlakunya ijtimak (bulan dan matahari berada pada kedudukan selari) tanpa mengambil kira sama ada anak bulan berada di atas ufuk ataupun tidak semasa matahari terbenam. Walaubagaimanapun, kemungkinan selepas berlaku ijtimak, anak bulan berada di bawah ufuk semasa matahari terbenam.


Rukyah dan Hisab Falak
Di Malaysia, penentuan pemulaan puasa dan hari raya puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab falak. Data-data falak berkaitan anak bulan diperolehi bagi membantu kerja-kerja mencerap anak bulan pada 29 syaaban dan 29 Ramadhan. Jika anak bulan kelihatan. ....

Jangkaan Awal Ramadhan dan Syawal 1432H

Salam.

Sekali lagi mudah-mudahan dengan izin Allah swt kita akan lalui bulan Ramadhan yang mulia beberapa hari lagi. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini dapat dilalui dengan lebih baik berbanding tahun lepas. Mohon keampunan dan rahmat Allah swt jua, supaya dipanjang usia melepasi bulan penuh berkat ini.

Sekali lagi, memanjangkan perbincangan sebelum ini, pada topik Bila Matahari Terbenam, mengenai kedudukan bulan dan matahari ketika matahari terbenam, dan aspek kenampakan berkaitan.

Perbincangan ini bukan untuk menyelar mana-mana pihak, tidak juga bertujuan untuk mengubah sesuatu peraturan atau sistem, tetapi lebih merupakan perbincangan asas ilmu yang terdedah kepada sebarang komen dan ulasan, betul dan khilaf. Moga Allah swt memberikan kita rahmat kasih sayangnya supaya perbincangan ini mengarah kepada suatu yang baik, dan menghasilkan suatu yang baik jua.


Seperti yang dibincangkan dalam topik terdahulu,.....

Thursday, July 14, 2011

Fenomena Istiwa A'dzam

PELUANG MENYEMAK ARAH KIBLAT DI RUMAH.
Oleh : Mohamad Faizal Bin Jani

Firman Allah dalam surah al-Furqan : 45-46 : "(45) tidakkah Engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? - Bagaimana ia menjadikan bayang-bayang itu memanjang, dan jika ia kehendaki tentulah ia menjadikannya tetap (tidak bergerak dan tidak berubah)! kemudian Kami jadikan matahari sebagai tanda Yang menunjukkan perubahan bayang-bayang itu;(46) kemudian Kami tarik balik bayang-bayang itu kepada kami, Dengan beransur-ansur."


Fenomena matahari sedang mengalami istiwa dengan kaabah, merupakan kaedah yang efektif dan mudah dalam penentuan arah kiblat. Ia sangat popular di negara-negara nusantara. Ia bukanlah satu kaedah baru atau moden, tapi merupakan satu kaedah yang telah diamalkan oleh ulama’-ulama’ terdahulu. Walaupun begitu, ia masih lagi sesuai dan efektif untuk diamalkan pada zaman sekarang.

Apakah dia Istiwa Ad’zam.

Kaedah ini sebenarnya telah disebutkan di dalam kitab-kitab ulamak terdahulu seperti Kitab Tadzkirah Fil Ilmil al-Hayyah oleh Nasaruddin al-Tusi ( kurun ke-14 ) dan al-Syamsu al-Fatihah oleh Syeikh Umar Ismail Nuruddin 1343 H ( Tok Guru Sg. Keladi ). Ia mula ditimbulkan semula di pada 1990 oleh En. Baharuddin Zainal, Ketua Unit Falak Syarie, Kolej Agama Sultan Zainal Abidin ( sekarang dikenali sebagai Universiti Darul Iman kampus KUSZA ) dalam artikelnya di Berita Minggu 27 Mei 1990.

Ia akan berlaku ketika nilai sudut istiwa matahari akan bersamaan dengan nilai latitud Mekah, di mana kaabah terletak. Ketika fenomena ini berlaku, bayang objek tegak di seluruh dunia akan membetuli arah Qiblat.

Kejadian matahari istiwa ( rembang ) di atas Kaabah berlaku dua kali setahun. Fenomena ini berlaku mengikut waktu tempatan di Malaysia pada:
i. 28 Mei kira-kira jam 5.16 petang
ii. 16 Julai kira-kira jam 5.28 petang

Oleh kerana fenomena ini berlaku...

Monday, April 25, 2011

Siri Kitab Rujukan : Pati Kiraan

Pati Kiraan

Pengarang : Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki Al-Azhari

Tahun penerbitan : 1357 H/1938 M

Bidang : Hitungan waktu solat dan arah kiblat

Naskhah ini mengandungi perbincangan kaedah-kaedah hitungan falak dengan menggunakan sifir logaritma. Bersama-sama makalah ini, terdapat keperluan menggunakan sejumlah jadual falak dalam bentuk lampiran. Jadual ini terdiri daripada jadual thul Matahari, nilai penyamaan masa (tadcdil al-waqt), jadual nisfu qaus bagi kedudukan Matahari yang sepadan dengan mel tertentu, jadual waktu zuhri, contoh-contoh hitungan waktu solat dan arah kiblat serta koordinat geografi 136 lokasi seluruh dunia. Pada pendahuluan makalah ini, dijelaskan penggunaan logaritma dalam hitungan matematik serta huraian beberapa istilah dan unsur koordinat yang biasa digunakan dalam hitungan falak. Antaranya, longitud Matahari (thul as-syams), sudut istiwa atau mel Matahari, ketinggian Matahari yang maksimum dalam pergerakan harian (ghayah irtifa), koordinat geografi bumi (latitud dan longitud), ekliptik Matahari (dairatul buruj/mel), separuh bulatan siang dan malam (nisfu qaus an-nahr wal lail), geometri sfera langit, definisi buruj serta luas kawasan sempadan sesuatu buruj. Seterusnya, kaedah pengukuran dan penentuan latitud tempatan dengan Rubuc Mujayyab dan nilai longitud dengan kaedah perbandingan waktu di antara dua tempat. Secara berperingkat, Syeikh Tahir memperkenalkan unsur-unsur yang akan digunakan dalam hitungan falak. Misalnya Bab 4 sehingga Bab 6, mengandungi kaedah hitungan sudut jam Matahari (fadhal al-dhair) dan arah Matahari (samt syams) dengan menggunakan nilai ketinggian Matahari yang diketahi atau diukur. Kaedah-kaedah ini dengan contoh hitungan dijelaskan terlebih dahulu sebagai persiapan untuk hitungan waktu solat dalam bahagian yang sama. Langkah-langkah hitungan sudut jam Matahari dijelaskan terlebih dahulu menggunakan rumus sfera waktu (muthallath al-waqt), sebagai persiapan hitungan waktu solat. Hitungan arah kiblat pula dibincangkan dengan tiga kaedah, iaitu dari ‘zij al-marhum Ridzuan Afandi’, kaedah oleh Syeikh Abi Fadhal dan kaedah yang terdapat dalam buku-buku ilmu pelayaran. Pada bahagian akhir Pati Kiraan (huraian kelapan), mengandungi perbincangan tentang ‘mengenal garis tengah hari dan mendirikan panjang mihrab’ serta pengenalan penggunaan peralatan kompas dan teodolit. Bagi penggunaan teodolit, Syeikh Tahir membincangkan penggunaannya dengan tanda rujukan titik utara yang telah ditandakan dengan kompas. Kompas berkenaan pula hendaklah terlebih dahulu diperbetulkan arah utaranya pada ‘garis tengah hari’. Dengan ini, sudut kiblat yang diukur dengan teodolit dari utara menjadi azimut kiblat. Akhirnya sebagai kemuncak dari hitungan arah kiblat, Syeikh Tahir membincangkan penandaan garisan asas bangunan masjid dengan menggunakan garisan arah kiblat yang telah ditandakan.

Secara keseluruhan dapat dirumuskan bahawa

Friday, April 22, 2011

Ku sangkakan berawan, rupa-rupanya....

Setelah beberapa hari mengalami zon mendung dari siang sampai ke malam hingga mengakibatkan beberapa siri cerapan terpaksa ditunda, akhirnya malam tadi 22 April 2011 jam 12.30 malam, sang purnama menjengahkan cahayanya. Walau keletihan beriadah badminton namun semangat terus membara secerah cahaya sang purnama. Berbekalkan teleskop Celestron 5 inch manual EQ mount, zainuddin bersama beberapa orang rakan sepermainan badminton di Dewan Kg Serdang Permai, Simpang Pulai telah berjaya mencerap sang purnama serta sang zuhal. Lebih mengujakan kebanyakkan rakan beliau merupakan kali pertama melihat bulan melalui teleskop. Bermula dari kanta mata bersaiz 40mm, 30mm, 26mm, 15mm dan akhir sekali disertakan dengan 2X lensa Barlow, imej kawah bulan amat jelas kelihatan. Tidak kurang juga keasyikan mereka yang turut berusaha merakam imej bulan dengan menggunakan kamera handphone dan kamera kompak.

Seterusnya, teleskop dihalakan pula menjejaki planet Zuhal yang tinggi berdekatan titik zenith. Lebih terpegun apabila masing-masing dapat menghayati keindahan planet zuhal secara langsung melalui mata sendiri. Bergilir-gilir mengambil peluang untuk melihat betapa hebatnya ciptaan Yang Maha Esa.

Sehingga jam di tangan menunjukkan pukul 2 pagi, barulah masing merasakan bahawa masih ada urusan kerja yang perlu dilakukan esok hari, maka masing-masing mengambil keputusan untuk pulang bersama manisnya pengalaman melihat bulan dan planet zuhal melalui teleskop. Bahkan ada yang menyatakan perlunya diadakan lagi peluang seperti ini pada malam minggu ini selepas beriadah badminton. InsyaAllah akan bertemu lagi...






Tuesday, March 15, 2011

Al-Idrisi, Penggambar Peta Dunia Pertama.

Abu Abdullah Muhammad al-Idrisi al-Qurtubi al-Hasani al-Sabti atau disingkat Al-Idrisi (bahasa Arab: أبو عبد الله محمد الإدريسي; bahasa Latin: Dreses) (1100 – 1165 atau 1166) adalah pakar geografi, kartografi, mesirologi, dan pengembara yang tinggal di Sisilia, tepatnya di istana Raja Roger II (Sultan Ar Rujari). Muhammad al-Idrisi lahir di kota Afrika Utara Ceuta (dulu dikenal dengan nama Sabtah - karena itu disebut dengan Al Sabti) yang termasuk bagian Kekaisaran Murabitun dan wafat di Sisilia. Al-Idrisi merupakan keturunan para penguasa Idrisiyyah (nama Al Idrisi merujuk pada kata ini) di Maroko, yang merupakan keturunan Hasan bin Ali, putra Ali dan cucu nabi Muhammad (nama Al Hasani menunjukan bahwa beliau keturunan Hasan bin Ali, yang di Indonesia dikenal pula sebagai golongan Habaib).


Thursday, February 10, 2011

Cerapan Bintang di Sekolah Raja Perempuan Ipoh

Satu program falak Sehari Bersama Pelajar telah diadakan di Sekolah Raja Perempuan, Ipoh. Program diserta seramai 100 orang pelajar dari kalangan ahli Persatuan Agama Islam dan Persatuan Sains & Matematik.

Team falakperak yang disertai oleh Ust Faizal, Ust Izwan, Ust Azizi, Ust Zainuddin, En Norazizi, En Muzamir dan En Zahid telah menjayakan program yang julung kali diadakan di sekolah tersbut seawal jam 2 petang.

Bermula dengan sesi ceramah dari Ust Faizal dan diikuti dengan aktiviti pelancaran roket air pada sebelah petang dan cerapan bintang pada waktu malam. Rata-rata pelajar serta guru pengiring menyatakan kegembiraan dan keterujaan menyertai program sebegini dan diharap agar dapat dilaksanakan lagi di masa yang akan datang.

Galeri gambar program sila klik sini





Wednesday, August 18, 2010

Ramadhan dan Syawal 1431

Seperti biasa, menjelang awal Ramadhan, Syawal dan Zulkaedah, pihak yang terlibat dengan Falak sama ada di Universiti, mahu pun di Jabatan Mufti Negeri-Negeri, mungkin kerap menerima pertanyaan mengenai tarikh awal puasa dan hariraya. Ini juga termasuk kakitangan biasa, mahu pun rakan taulan kepada pegawai tersebut yang secara tidak langsung turut menerima pertanyaan sama, dengan harapan boleh mencungkil 'rahsia' tentang bila tarikh ketetapan berkenaan.

Tuesday, February 09, 2010

"Manusia Mati Meninggalkan Warisan Ilmu"

Oleh: Baharrudin Zainal

Pada hari Rabu lepas bersamaan 18 Safar, kira-kira jam 8 malam saya mendapat pesanan ringkas dari Saudara Rizanudin Nordin bahawa Ustaz Abd. Rahman Salleh telah kembali ke rahmatullah. Saya menghubungi keluarga beliau setakat untuk pengesahan dan ucapan takziah. Saya dimaklumkan jenazah almarhum akan dikebumikan di kampung asalnya, Padang Pat Amat, Pasir Putih. Agak terkilan kerana tidak dapat menziarahi jenazahnya kerana saya akan ke Melaka keesokkan harinya atas urusan keluarga yang tidak dapat dielakkan. Kali terakhir saya menziarahinya kira-kira satu bulan sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir. Keadaannya ketika itu amat uzur, daya ingatannya agak kurang, tetapi masih boleh bercakap agak lancar. Apabila mengadap beliau di katil perbaringannya, saya bisikkan kehadiran saya dan seorang rakan dari UDM. Beliau ingat dan menangis serta bertanya mana rakan-rakan lain. Antara yang disebutnya ialah Encik Hasan Ali dan Zul ‘budak Bari’. Saya katakan yang saya datang bersama Zul, selepas itu beliau masih bertanya lagi kenapa Zul tidak datang. Ingatannya kepada sebahagian kakitangan Balai Cerap KUSZA kerana keakraban mereka semasa almarhum menyandang kerusi karyawan tama Unit Falak mulai Disember 2004 sehingga Mac 2005.


Tuesday, January 19, 2010

Rukyah Hilal Safar 1431H

Team falakperak telah berjaya menjejaki bulan sabit muda pada petang 16 Januari 2010. Sebanyak 5 peralatan telah dipasang iaitu Teodolite Topcon DT-100, Teleskop MEADE ETX70, Teleskop MEADE DS-127, Teleskop Celestron 6 inch manual dan Teleskop MEADE LX200GPS 8 inch. Turut serta pada petang tersebut ialah sahabat-sahabat dari INSTUN (bro Mohd Abduh dan bro Lan) serta sahabat-sahabat dari Bandar Pulai Jaya (bro Rani dan bro Rizwa serta keluarga).
Bulan sabit muda telah berjaya dikesan melalui teodolite pada jam 7.35 petang. Semua yang hadir telah sama-sama melihat keindahan bulan serta panorama sunset pada petang tersebut.





Monday, January 18, 2010

Kenali Buruj Orion

Belantik atau Orion adalah satu susunan atau kumpulan bintang yang lebih dikenali sebagai buruj yang amat sinonim dengan panduan arah kiblat di nusantara ini. Buruj ini dapat dilihat dengan jelas berada di langit pada waktu Subuh di bulan Julai, tengah malam pada bulan Disember dan waktu Maghrib pada bulan Mac setiap tahun.
Pada grafik di bawah arah kiblat dapat dikenal pasti berdasarkan 3 bintang yang agak selari iaitu dari bintang Alnitak->Alnilam->Mintaka. Arah yang selari dengan ketiga-tiga bintang tersebut akan mengunjur ke arah kiblat.
Diagram of the constellation Orion
Object Name Type/Translation V Mag
1 M42 Reflection Nebula 4.0
2 M43 Reflection Nebula 9.0
3 M78 Reflection Nebula 8.3
4 Betelgeuse "Armpit" 0.50
5 Rigel "Foot" 0.16
6 Bellatrix "Warrioress" 1.60
7 Mintaka "West End of the Belt" 2.23
8 Alnilam "Middle of the Belt" 1.70
9 Alnitak "East End of the Belt" 2.05
10 Nair al Saif "Bright One of the Sword" 2.77
11 Saiph "Hilt of the Sword" 2.06
12 Meissa "Shining" 3.54
13 Thabit * 3.54

*Credit to --> http://www.seasky.org/sky.html

Sunday, January 17, 2010

Megah Sang Mentari

Pada 15 Januari lepas team falakperak telah mengadakan sesi cerapan gerhana matahari separa di perkarangan Masjid Al-Muttaqin, Taman Meru Ipoh. Program yang dihadiri lebih 300 orang ini telah diserikan lagi dengan kehadiran Mufti Negeri Perak Tan Sri Dr Hj Harussani b Hj Zakaria.

Program bermula selepas solat jumaat dengan sesi taklimat berkenaan gerhana oleh AF Ust Mohd Faizal b Jani iaitu Pegawai Falak di Jabatan Mufti Negeri Perak sementara beberapa kakitangan bahagian falak pula bersiap sedia mendirikan beberapa peralatan untuk cerapan di perkarangan masjid. Terdapat 7 buah peralatan telah disediakan iaitu teleskop MEADE LX200GPS 8inch, teleskop Celestron manual EQ mount 6inch, telskop ETX70 3inch, tepdolite Topcon DT100, teleskop MEADE DS127, teleskop PST CORONADO dan VideoCam SONY bagi melancarkan tayangan secara live.

Selepas mendengar taklimat dari pegawai Falak, sesi cerapan dimulakan dan ujikaji terhadap telur ayam juga dijalankan oleh pegawai Falak dimana, dipercayai kekuatan daya graviti yang berkurangan ketika gerhana berlaku menyebabkan telur ayam dengan mudah boleh ditegakkan. Seterusnya solat sunat gerhana didirikan secara berjamaah yang diimamkam oleh imam masjid berkenaan dan khutbah gerhana matahari telah dibacakan oleh AF Ust Kamaruddin b Adam iaitu Pegawai Fatwa Jabatan Mufti Negeri Perak.

Setelah selesai berjamaah solat asar, para hadirin telah dihidangkan dengan hidangan minum petang. Seterusnya majlis bersurai kira-kira jam 5.30 petang.


Matahari pada jam 4.48 petang



Matahari pada jam 3.30 petang. Kelihatan juga sunspot hampir terlindung ketika gerhana.

Monday, January 11, 2010

Astrofoto di Gopeng Fishing Pond.

Satu sesi cerapan khusus astrofoto telah diadakan di Gopeng Fishing Pond 8 Januari baru-baru ini yang telah diketuai oleh Pak Aziz. Shahgazer, Muzamir, Redzuan, Farahana dan dinperak merupakan peserta yang terlibat dalam misi astrofoto pada malam itu. walaapun cuaca agak kurang mengizinkan, namun berkat kesabaran yang tinggi, beberapa imej yang agak menarik telah berjaya dicerap dan dirakam.


Wednesday, July 19, 2006

Salam Permulaan

Salam bicara pertama dari kami. Moga akan menjadi satu tapak perbincangan dan penyebaran maklumat di kalangan ahli dan peminat falak khususnya di negeri Perak Darul Ridzuan. Kami amat mengalu-alukan sumbangan artikel dan pandangan dari anda semua bagi kita sama-sama mengembangkan dan mengembalikan kegemilangan Falak.

Sekian.