Topik Pilihan

Friday, April 22, 2011

Ku sangkakan berawan, rupa-rupanya....

Setelah beberapa hari mengalami zon mendung dari siang sampai ke malam hingga mengakibatkan beberapa siri cerapan terpaksa ditunda, akhirnya malam tadi 22 April 2011 jam 12.30 malam, sang purnama menjengahkan cahayanya. Walau keletihan beriadah badminton namun semangat terus membara secerah cahaya sang purnama. Berbekalkan teleskop Celestron 5 inch manual EQ mount, zainuddin bersama beberapa orang rakan sepermainan badminton di Dewan Kg Serdang Permai, Simpang Pulai telah berjaya mencerap sang purnama serta sang zuhal. Lebih mengujakan kebanyakkan rakan beliau merupakan kali pertama melihat bulan melalui teleskop. Bermula dari kanta mata bersaiz 40mm, 30mm, 26mm, 15mm dan akhir sekali disertakan dengan 2X lensa Barlow, imej kawah bulan amat jelas kelihatan. Tidak kurang juga keasyikan mereka yang turut berusaha merakam imej bulan dengan menggunakan kamera handphone dan kamera kompak.

Seterusnya, teleskop dihalakan pula menjejaki planet Zuhal yang tinggi berdekatan titik zenith. Lebih terpegun apabila masing-masing dapat menghayati keindahan planet zuhal secara langsung melalui mata sendiri. Bergilir-gilir mengambil peluang untuk melihat betapa hebatnya ciptaan Yang Maha Esa.

Sehingga jam di tangan menunjukkan pukul 2 pagi, barulah masing merasakan bahawa masih ada urusan kerja yang perlu dilakukan esok hari, maka masing-masing mengambil keputusan untuk pulang bersama manisnya pengalaman melihat bulan dan planet zuhal melalui teleskop. Bahkan ada yang menyatakan perlunya diadakan lagi peluang seperti ini pada malam minggu ini selepas beriadah badminton. InsyaAllah akan bertemu lagi...






No comments: