Topik Pilihan

Pengenalan

Ilmu Falak merupakan salah satu bidang sains tabie(tulen) yang telah dipelajari sejak turun temurun. Malah di nusantara ini juga terdapat ramai tokoh ilmuan falak yang telah mencipta nama sebagai rujukan dalam perbahasan ilmu falak seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Abdullah Fahim, Tuan Hj Mohd Khir b Taib dan Tuan Hj Abd Ghani b Salleh. Kepentingan ilmu falak juga telah membawa kepada perkembangan institusi-institusi pengajian yang menawarkan sukatan pelajaran dan pembelajaran ilmu falak. Bidang falak juga telah menjadi salah satu bidang rujukan utama dalam menentukan awal bulan hijri, penerbitan takwim solat dan penentuan arah kiblat yang membawa kepada kewujudan unit falak di setiap jabatan mufti negeri di seluruh Malaysia yang diselaraskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Pelbagai aktiviti dan program dilaksanakan bagi memantapkan kemahiran para pegawai dalam unit berkenaan dengan tujuan menyampaikan dan menjadi rujukan di tempat masing-masing. Berbekalkan pengalaman dan sedikit usaha, beberapa insan telah sama-sama berbincang ingin memajukan keilmuan falak ke segenap lapisan masyarakat.

Justeru ingin mengembang dan melebarluaskan pengetahuan dan pengamalan ilmu falak ke seluruh masyarakat, maka tertubuhlah satu komuniti berdaftar yang bernama Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak. Persatuan ini telah ditubuh dan didaftar secara rasmi bermula pada hari Jumaat 28 Januari 2011M bersamaan 23 Safar 1432H dengan nombor pendaftaran 0452-11-PRK.

Maka dengan tertubuhnya persatuan ini, dilihat ianya akan menjadi pengendali utama merealisasikan kesungguhan memasyarakatkan ilmu falak. Dengan kata inspirasi "Wadah Tradisi Unggul", moga ilmu falak makin berkembang di nusantara ini.