Topik Pilihan

Tuesday, February 09, 2010

"Manusia Mati Meninggalkan Warisan Ilmu"

Oleh: Baharrudin Zainal

Pada hari Rabu lepas bersamaan 18 Safar, kira-kira jam 8 malam saya mendapat pesanan ringkas dari Saudara Rizanudin Nordin bahawa Ustaz Abd. Rahman Salleh telah kembali ke rahmatullah. Saya menghubungi keluarga beliau setakat untuk pengesahan dan ucapan takziah. Saya dimaklumkan jenazah almarhum akan dikebumikan di kampung asalnya, Padang Pat Amat, Pasir Putih. Agak terkilan kerana tidak dapat menziarahi jenazahnya kerana saya akan ke Melaka keesokkan harinya atas urusan keluarga yang tidak dapat dielakkan. Kali terakhir saya menziarahinya kira-kira satu bulan sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir. Keadaannya ketika itu amat uzur, daya ingatannya agak kurang, tetapi masih boleh bercakap agak lancar. Apabila mengadap beliau di katil perbaringannya, saya bisikkan kehadiran saya dan seorang rakan dari UDM. Beliau ingat dan menangis serta bertanya mana rakan-rakan lain. Antara yang disebutnya ialah Encik Hasan Ali dan Zul ‘budak Bari’. Saya katakan yang saya datang bersama Zul, selepas itu beliau masih bertanya lagi kenapa Zul tidak datang. Ingatannya kepada sebahagian kakitangan Balai Cerap KUSZA kerana keakraban mereka semasa almarhum menyandang kerusi karyawan tama Unit Falak mulai Disember 2004 sehingga Mac 2005.