Topik Pilihan

Friday, July 29, 2011

Mungkinkah Kita Berpuasa dan Berhari Raya Serentak Seluruh Dunia

Umat Islam sekarang selalu dilanda dilema apabila munculnya bulan Ramadhan. Kita sering tertanya-tanya kenapa semua umat Islam di dunia ini tidak menyambut Ramadhan bersama-sama, atau perkataan yang lebih mudahnya ialah pada hari yang sama. Kita juga sering bertanya, kenapa perayaan atau hari kebesaran bagi umat Islam tidak sama seperti perayaan hari Krismas, tahun Baru Cina, Deepavali dan lain-lain perayaan lagi yang wujud di dunia ini. Permasalahan dalam menentukan awal Ramadhan bukanlah satu perkara yang baru, malah ia adalah satu permasalahan yang sering timbul dan tenggelam bila umat Islam menyambut ramadhan lebih-lebih lagi berhari raya. Namun ia sebenarnya satu cabaran bagai umat Islam mengkaji dan memahami sifat hilal itu sendiri.

Di sini saya akan berkongsi sebab-sebab, kenapa, mengapa dan bagaimana perbezaan sambutan awal Ramadhan di seluruh dunia ini boleh terjadi. Sebab-sebab terjadinya perbezaan ini saya bahagikan kepada dua sebab, yang pertama ialah kaedah penentuan awal bulan yang berbeza pada tiap-tiap tempat. Manakala sebab yang kedua ialah kerana perbezaan matlak.


Perbezaan kaedah penentuan awal bulan Ramadhan
Kaedah penetapan awal bulan Ramadhan yang berlainan mengikut kawasan menyebabkan terjadinya perbezaan permulaan puasa di setiap negara. Pada hari ini, kaedah yang digunakan di negara-negara Islam dalam menetapkan tarikh 1 Ramadhan adalah berdasarkan :
• Rukyah
• Hisab falak
• Rukyah dan hisab falak


Rukyah
Dalam masyarakat umat Islam, kaedah merukyah hilal atau melihat anak bulan merupakan perkara terpenting untuk menentukan permulaan awal bulan terutamanya Ramadhan dan Syawal. Namun, disebabkan kedudukan geografi sesebuah tempat, maka sambutan awal puasa dan hari raya berlaku pada hari yang berlainan mengikut tempat masing-masing. Faktor berlakunya perbezaan ini kerana pada suatu tempat, anak bulan tidak kelihatan semasa ia dirukyah tetapi di tempat lain ia kelihatan. Hal seperti ini sering terjadi di negara besar seperti India.
Sebagai contoh, merukyah anak bulan di Malaysia adalah suatu perkara yang agak sukar dilakukan kerana langit utamanya di sekitar ufuk sering dilindungi awan tebal. Tambahan pula, keadaan langit Malaysia yang sering mendung di waktu petang menyukarkan lagi usaha melihat anak bulan. Lebih menyulitkan apabila ketinggian anak bulan pada hari merukyahnya iaitu pada 29 Syaaban atau 29 Ramadhan adalah begitu rendah dan jarang melebihi 5°. Namun, bagi negara-negara di Asia Barat, anak bulan lebih mudah kelihatan kerana ketinggiannya dari ufuk adalah lebih tinggi dan umurnya yang lebih tua berbanding ketika ia kelihatan di Malaysia.

Hisab Falak
Bagi negara-negara Barat seperti Australia, Kanada dan Amerika Syarikat, mereka menggunakan hisab falak atau perhitungan astronomi sebagai dasar dalam menentukan kelihatan anak bulan. Dengan menggunakan kaedah ini, anak bulan dianggap sudah kelihatan selepas berlakunya ijtimak (bulan dan matahari berada pada kedudukan selari) tanpa mengambil kira sama ada anak bulan berada di atas ufuk ataupun tidak semasa matahari terbenam. Walaubagaimanapun, kemungkinan selepas berlaku ijtimak, anak bulan berada di bawah ufuk semasa matahari terbenam.


Rukyah dan Hisab Falak
Di Malaysia, penentuan pemulaan puasa dan hari raya puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab falak. Data-data falak berkaitan anak bulan diperolehi bagi membantu kerja-kerja mencerap anak bulan pada 29 syaaban dan 29 Ramadhan. Jika anak bulan kelihatan. .... semasa cerapan dilakukan, maka esoknya adalah awal puasa atau hari raya. Namun, anak bulan yang kelihatan haruslah memenuhi kriteria atau syarat-syarat berikut:
• Semasa matahari terbenam, ketinggian anak bulan haruslah tidak kurang daripada 2° di atas ufuk
• Semasa matahari terbenam, jarak lengkung antara matahari dan bulan mestilah tidak kurang daripada 3°
Atau
• Ketika bulan terbenam, umur bulan tidak kurang daripada 8 jam

Jika anak bulan tidak kelihatan pada hari tersebut, maka hisab falak akan digunakan. Hisab falak akan memberitahu tentang kedudukan anak anak bulan sama ada pada ketika itu ia sudah boleh kelihatan ataupun tidak. Jika anak bulan sudah wujud dan boleh dilihat, maka hisab falak akan digunakan sebagai kaedah penetapan awal Ramadhan atau Syawal. Namun, jika hisab falak menyatakan sebaliknya, maka bulan tersebut; Syaaban atau Ramadhan, akan degenapkan menjadi 30 hari.

Perbezaan Matlak
Matlak bermaksud jarak di antara negara. Dalam masalah penentuan awal Ramadhan dan Syawal, perbezaan matlak juga merupakan salah satu faktor ketidakseragaman permulaan puasa dan hari raya, akan tetapi faktor perbezaan matlak ini hanya wujud dalam mazhab Syafie sahaja. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim mengenai perbualan antara ibnu Abbas dengan Quraib yang telah dihantar ke Syam :
Maksudnya : Ibnu Abbas bertanya kepada Quraib : “Bilakah kamu melihat hilal?” Aku pun menjawab : “Kami melihatnya pada malam Jumaat.” Ibnu Abbas lantas bertanya lagi : “ Adakah engkau sendiri melihatnya?” Aku menjawab : “Ya. Orang lain pun melihatnya dan mereka pun berpuasa, Muawiyah pun berpuasa.” Ibnu abbas berkata : “Kami di sini melihat hilal Ramadhan pada malam Sabtu dan kami terus berpuasa hingga kami sempurnakan 30 hari atau hingga kami melihat hilal Syawal.” Aku bertanya : “Tidakkah memadai bagi kamu hilal itu dilihat oleh Muawiyah dan puasanya?” Ibnu Abbas menjawab : “Tidak! Beginilah Rasulullah S.A.W. menyuruh kami.”

Hadis ini menunjukkan Ibn Abbas (Madinah) tetap berpegang dengan keputusan rukyah di Madinah dan berpuasa pada hari Sabtu, tanpa terikat dengan keputusan Muawiyah di Syam yang mana mereka berpuasa pada hari Jumaat.
Daripada hadis ini kita dapat melihat bahawa perbezaan matlak atau jarak antara negara menjadi salah satu faktor yang menyebabkan berlakunya ketidakseragaman permulaan puasa dan hari raya di kalangan negara-negara Islam, bahkan di dalam sesebuah negara itu sendiri.
Kesemua kaedah yang telah disebutkan di atas telah menjadi pegangan umat Islam di seluruh dunia. Malah di sesebuah negara ada yang menggunakan beberapa kaedah yang berbeza berdasarkan pemahaman dan kesesuaian mengikut penafsiran mereka. Maka sudah tentulah kaedah yang berbeza akan menghasilkan keputusan yang berbeza. Hanya segelintir atau kadang-kadang sahaja kenampakan hilal pada sesebuah negara adalah sama dan jarang-jarang sahaja yang berbeza.


Setelah kita mengkaji dan mengetahui segala sebab-sebab berlakunya perbezaan awal Ramadhan dan hari raya di seluruh negara, maka kita sebagai umat islam tidak harus cepat membuat kesimpulan tentang perbezaan ini. Bak kata pepatah melayu, “kerana nila setitik rosak susu sebelanga”. Kerana ada segelintir yang tidak memahami sebab yang berlaku, dan mengapa perbezaan tarikh Islam ini boleh terjadi, dan mereka pula cuba memandai-madai meletakkan hukum dan menyalahkan orang lain dan mereka juga telah menghasut serta mengusutkan lagi fikiran orang ramai tentang hal ini. Oleh sebab itu, kita harus bertindak dengan bijak, jangan mudah diperbodoh-bodohkan oleh orang lain. Kita perlu bertanya kepada orang yang lebih pakar dan arif dalam bidang ilmu falak, jika rasa ragu dan sangsi tentang sesuatu perkara.

No comments: