Topik Pilihan

Monday, April 25, 2011

Siri Kitab Rujukan : Pati Kiraan

Pati Kiraan

Pengarang : Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki Al-Azhari

Tahun penerbitan : 1357 H/1938 M

Bidang : Hitungan waktu solat dan arah kiblat

Naskhah ini mengandungi perbincangan kaedah-kaedah hitungan falak dengan menggunakan sifir logaritma. Bersama-sama makalah ini, terdapat keperluan menggunakan sejumlah jadual falak dalam bentuk lampiran. Jadual ini terdiri daripada jadual thul Matahari, nilai penyamaan masa (tadcdil al-waqt), jadual nisfu qaus bagi kedudukan Matahari yang sepadan dengan mel tertentu, jadual waktu zuhri, contoh-contoh hitungan waktu solat dan arah kiblat serta koordinat geografi 136 lokasi seluruh dunia. Pada pendahuluan makalah ini, dijelaskan penggunaan logaritma dalam hitungan matematik serta huraian beberapa istilah dan unsur koordinat yang biasa digunakan dalam hitungan falak. Antaranya, longitud Matahari (thul as-syams), sudut istiwa atau mel Matahari, ketinggian Matahari yang maksimum dalam pergerakan harian (ghayah irtifa), koordinat geografi bumi (latitud dan longitud), ekliptik Matahari (dairatul buruj/mel), separuh bulatan siang dan malam (nisfu qaus an-nahr wal lail), geometri sfera langit, definisi buruj serta luas kawasan sempadan sesuatu buruj. Seterusnya, kaedah pengukuran dan penentuan latitud tempatan dengan Rubuc Mujayyab dan nilai longitud dengan kaedah perbandingan waktu di antara dua tempat. Secara berperingkat, Syeikh Tahir memperkenalkan unsur-unsur yang akan digunakan dalam hitungan falak. Misalnya Bab 4 sehingga Bab 6, mengandungi kaedah hitungan sudut jam Matahari (fadhal al-dhair) dan arah Matahari (samt syams) dengan menggunakan nilai ketinggian Matahari yang diketahi atau diukur. Kaedah-kaedah ini dengan contoh hitungan dijelaskan terlebih dahulu sebagai persiapan untuk hitungan waktu solat dalam bahagian yang sama. Langkah-langkah hitungan sudut jam Matahari dijelaskan terlebih dahulu menggunakan rumus sfera waktu (muthallath al-waqt), sebagai persiapan hitungan waktu solat. Hitungan arah kiblat pula dibincangkan dengan tiga kaedah, iaitu dari ‘zij al-marhum Ridzuan Afandi’, kaedah oleh Syeikh Abi Fadhal dan kaedah yang terdapat dalam buku-buku ilmu pelayaran. Pada bahagian akhir Pati Kiraan (huraian kelapan), mengandungi perbincangan tentang ‘mengenal garis tengah hari dan mendirikan panjang mihrab’ serta pengenalan penggunaan peralatan kompas dan teodolit. Bagi penggunaan teodolit, Syeikh Tahir membincangkan penggunaannya dengan tanda rujukan titik utara yang telah ditandakan dengan kompas. Kompas berkenaan pula hendaklah terlebih dahulu diperbetulkan arah utaranya pada ‘garis tengah hari’. Dengan ini, sudut kiblat yang diukur dengan teodolit dari utara menjadi azimut kiblat. Akhirnya sebagai kemuncak dari hitungan arah kiblat, Syeikh Tahir membincangkan penandaan garisan asas bangunan masjid dengan menggunakan garisan arah kiblat yang telah ditandakan.

Secara keseluruhan dapat dirumuskan bahawa naskhah Sabilih al-Muhtadin unsur-unsur ilmu falak yang digunakan secara langsung dalam ibadat. Kandungan dan kaedah penyampaian unsur-unsur ilmu falak ini menunjukkan pengarang, Syeikh Arsyad al-Banjari mempunyai pengetahuan ilmu falak yang tinggi. Kaedah ilmu falak yang disampaikan dalam naskhah ini dipersembahkan dalam bentuk sains rakyat dan falak bermatematik yang diambil dari kitab fekah utama tetapi telah disesuaikan untuk kegunaan Alam Melayu. Manakala unsur-unsur matematik dalam naskhah Sirajuz Zhalam pula terbahagi kepada yang membincangkan kaedah penyusunan takwim Hijri (Arabi) secara hitungan dan takwim yang berasaskan ramalan. Kaedah penyusunan takwim ini merupakan pengaruh penyusunan takwim tamadun Islam secara langsung, sebagaimana terdapat dalam karya-karya al-Biruni seperti dalam Kitab al-Tafhim li-awa’il sina’at al-tanjim, Ghurrat-uz-Zijat dan al-Athar al-baqiya ‘an al-qurun al-haliya. Penggunaan huruf tahun pula, merupakan penyesuaian yang dilakukan kerana kaedah ini popular digunakan di Alam Melayu dalam tempoh masa tersebut. Aplikasi takwim dalam aktiviti seharian masyarakat yang berasaskan ramalan dalam naskhah Sirajuz Zhalam ini didapati berbaur antara pengaruh tamadun Islam dengan pengaruh Hindu. Walau bagaimanapun pengarang Sirajuz Zhalam ini didapati telah cuba mengIslamkan unit-unit sukatan masa sesuai dengan nilai Islam itu sendiri. Naskhah Sullam an-Naiyiraini pula didapati merupakan satu-satunya naskhah yang membincangkan kaedah hitungan menggunakan jadual Ulugh Beg di Alam Melayu. Kaedah hisab munajjimin dengan penggunaan jadual sebagaimana dalam naskhah Sullam an-Naiyiraini merupakan warisan Tamadun Islam. Jadual Ulugh Beg menjadi pilihan ahli-ahli falak Alam Melayu kerana jadual yang sama digunakan semasa pengajian mereka di Mekah dan jadual Ulugh Beg juga didapati antara jadual yang paling tepat dan lengkap. Penggunaan jadual ini juga menunjukkan hubungan langsung ilmu falak zaman Tamadun Islam ke Alam Melayu. Penyalinan semula jadual falak ini dari jadual falak Ulugh Beg didapati mengandungi maklumat tambahan, apabila rujukan longitud untuk hitungan waktu sudah dipindahkan kepada longitud Batawi. Naskhah Pati Kiraan oleh Syeikh Tahir pula menunjukkan naskhah ini mengandungi teori, hitungan dan praktik ilmu falak. Walaupun penyampaian kaedah-kaedah penyelesaian dalam bentuk deskriptif, namun proses penjelmaan yang dilakukan dalam kajian ini menunjukkan penglibatan rumus berkuantitatif yang sama mutunya dengan rumus semasa. Kajian ini juga telah membuktikan yang jadual-jadual falak dalam karya Syeikh Tahir telah disesuaikan untuk kegunaan lokasi geografi Alam Melayu. Syeikh Tahir juga bertanggung jawab memajukan kaedah-kaedah hitungan falak daripada penyelesaian trigonometri menggunakan ambilan nisbah daripada Sukuan Sinus dengan aritmetik sistem perenampuluhan kepada penggunaan jadual dan penyelesaian aritmetik secara logaritma. Langkah Syeikh Tahir menggunakan bahasa Melayu dan medium cetakan dalam penyebaran ilmu falak merupakan satu usaha yang mempercepatkan penerimaan unsur-unsur baharu ilmu pengetahuan (termasuk ilmu falak) di kalangan masyarakat. Pembaharuan ilmu yang dibawa oleh tokoh ilmuwan ini bersama-sama langkah mengubah sikap masyarakatnya terhadap ilmu pengetahuan dan penggunaan kaedah-kaedah baharu ilmu falak (termasuk inovasi Eropah) bagi memenuhi keperluan ibadat dan memudahkan perlaksanaannya. Berdasarkan hasil pendokumentasian dan sinopsis yang dibincangkan dalam bahagian ini, bidang utama ilmu falak Alam Melayu dapat dirumuskan seperti berikut:

(a) Pengukuran waktu yang berkaitan penentuan waktu awam dan waktu solat. Unjuran daripada aspek penentuan waktu solat ialah penentuan arah kiblat.

(b) Takwim yang berkaitan penyusunan tarikh buruj, tarikh berasaskan ramalan, tarikh Hijri dan tarikh Miladi. Takwim yang berasaskan ramalan ini termasuk juga ilmu Bintang Dua Belas.

(c) Jadual falak yang berkaitan maklumat Matahari, Bulan, waktu, arah kiblat, fenomena falak, takwim serta maklumat koordinat geografi.

(d) Peralatan yang berasaskan konsep ilmu falak, terutamanya penggunaan Sukuan Sinus dan jam Matahari.


*Sumber : http://213.134.46.67/asociaciones/Main;jsessionid=ED4AF131552E41206CD70A9AEA3B77B2?ISUM_ID=Content&ISUM_SCR=linkServiceScr&ISUM_CIPH=IGBbthdM6ZLYWeBz6r%2Bi7qXBo89i8z07fURTH3L4aAhx8xc8eKT9W2HSzQxX5pQl%2F1cc40ID89XJ%0AiLsC2GxXSw%3D%3D&ISUM_ps408=1

No comments: