Topik Pilihan

Tuesday, September 27, 2011

Buku Ithna A’syara Mauduan Fi Ilmi Falak


Alhamdulillah, setinggi kesyukuran pada Allah SWT, atas kebesaranNya, akhirnya buku yang diusahakan dari petikan-petikan kuliah falak di Surau dan Masjid berjaya dihasilkan. Buku yang diberi nama Ithna A’syara Mauduan Fi Ilmi Falak atau Dua Belas Tajuk-tajuk Di Dalam Ilmu Falak adalah koleksi nota-nota kuliah ilmu falak yang disusun sebagai modul kuliah falak di Masjid dan surau untuk 12 sesi. Ia adalah koleksi dari siri-siri kuliah yang telah saya berikan di masjid dan surau sekitar Ipoh. Setelah lambakan nota-nota yang disusun, sesekali bila cuba mencari balik nota-nota tersebut, kadang-kadang hilang, terdelete, atau tidak tahu mana letaknya. Maka, saya cuba menyusun kembali dalam bentuk modul buku.


Asalnya saya berharap buku ini nanti, dapat dijadikan rujukan oleh para ahli jamaah masjid dan surau yang ke kuliah saya, yang memang sangat mengharapkan sebuah buku yang dapat dijadikan rujukan dan catatan mereka. Oleh kerana itu setiap tamat tajuk kuliah di dalam buku ini, saya sertakan ruang untuk catatan bagi sebarang tambahan nota. Namun, Insya Allah ia juga sesuai bagi tujuan bacaan ringan bagi sesiapa yang mahu memahami ilmu falak. Penulisan buku mengambil pendekatan penghuraian ilmu falak berdasarkan sandaran al-Quran dan al-Hadis seperti mana yang telah dilakukan pendakwah terkenal Dr. Zaghlul Najjar.


Walau sedikit keraguan ketika mahu mencetak buku ini dan mengedarkannya kepada masyarakat, samada ia mampu memberikan apa yang masyarakat mahu dari sebuah buku falak, namun saya serahkan kepada Allah SWT. Apa yang penting buku ini dapat memberi kesinambungan pada dunia falak. Saya cuba mengumpulkan segala pandangan guru-guru saya dan tokoh dalam bidang berkaitan agar ilmu yang mulia ini mampu berkembang di tengah masyarakat.


Saya petik pendahuluan dari buku ini.

"Ilmu falak merupakan satu disiplin ilmu yang sebenarnya terlalu dekat dengan umat Islam. Dari aspek ibadah ilmu falak menyelesaikan syarat sah beberapa ibadah seperti persoalan arah Qiblat, penentuan waktu solat, penentuan Ramadhan dan Hari Raya. Dari disiplin ilmu tafsir, ilmu falak membantu memperjelaskan ayat-ayat berkaitan perjalanan alam semesta. Manakala fakta-fakta yang menakjubkan hasil dari pengkajian al-Quran dan ilmu falak membentuk keyakinan terhadap kewujudan dan kekuasaan ALLAH SWT sebagai pencipta yang Maha Agung dan Maha Bijaksana.
Buku Ithna A’syara Mauduan Fi Ilmi Falak atau Dua Belas Tajuk-tajuk Di Dalam Ilmu Falak adalah koleksi nota-nota kuliah ilmu falak yang boleh dijadikan rujukan bagi kuliah ilmu falak di masjid dan surau. Ia menyentuh persoalan ibadah, tafsir al-Quran dan al-Hadis dan aqidah dalam perbahasan ilmu falak. Ia mempunyai 12 tajuk yang menjadi persoalan masyarakat dalam memahami isu-isu berkaitan ilmu falak. Buku ini tidak terlalu ilmiah atau ‘formal’ untuk dijadikan bahan rujukan dalam kuliah di masjid dan surau. Penulis cuba memilih tajuk-tajuk yang ‘mesra pendengar’ dan tiada penyelesaian matematik di dalam tajuk-tajuk buku. Namun isi buku masih dapat dikembangkan dengan rujukan kepada buku yang telah disarankan dalam rujukan-rujukan yang dinyatakan.
Sepanjang penglibatan penulis dalam bertatih-tatih dalam dunia falak yang agak asing dalam masyarakat awam, penulis bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan-penjelasan kepada masyarakat yang memang dahagakan limpahan ilmu. Secara berdikit-dikit penulis mengumpulkan beberapa bahan penulisan yang disusun semula dari sumber-sumber yang pelbagai. Namun setelah beberapa tahun kuliah ini dijalankan penulis merasakan sudah sampai masanya nota-nota ini disusun semula dengan lebih teratur bagi memudahkan ahli-ahli jemaah masjid dan surau. Demikian juga bagi memeriahkan dunia ilmu falak yang agak ketandusan buku-buku rujukan bagi bacaan umum.
Namun buku ini juga sesuai bagi bacaan masyarakat umum yang ingin mengetahui tentang isu-isu yang dibincangkan dalam ilmu falak. Penulis merasakan buku ini masih terlalu banyak kelemahan yang perlu banyak diperbaiki. Oleh kerana itulah penulis merasakan penghasilan buku ini bukanlah rujukan mutlak ilmu falak. Namun sekadar memanjangkan sedikit ilmu dan pengalaman yang penulis kutip dari siri-siri kuliah masjid dan surau bagi dikongsi bersama dengan para pembaca yang berminat mendalami ilmu falak ini.
Harapan penulis, buku ini dapat dijadikan bacaan dan rujukan masyarakat yang berminat mempelajari ilmu falak mahupun menjadi rujukan kuliah di masjid dan surau. Namun penulis sangat berbesar hati kiranya buku ini mendapat respon dan ulasan bagi memperbaikinya kiranya adanya kesilapan dan kelemahan.
Moga-moga usaha ini mendapat keredhaan ALLAH SWT dan menjadi amal jariah bagi penulis dan guru-guru penulis..Wallahua’lam.

Tajuk-Tajuk di dalam buku
Kuliah 1 : Ilmu Falak Sebagai Pengenalan
Kuliah 2 : Ibadat Fikir
Kuliah 3 : Taqwim Hijrah Satu Soroton
Kuliah 4 : Kiblat : Perspektif Syara’ & Falak
Kuliah 5 : Kaedah-Kaedah Penetapan Arah Kiblat
Kuliah 6 : Istiwa A’dzam
Kuliah 7 : Penetapan Awal Ramadhan, Syawal & Zulhijjah Mengikut Hukum Fiqh
Kuliah 8 : Kaedah Penetapan Hari Raya Idiladha Di Malaysia
Kuliah 9 : Manzilah Bulan
Kuliah 10: Bumi, Bulan Dan Matahari Beredar Di Atas Orbitnya
Kuliah 11 : Al-Quran Menyatakan Sifat Matahari
Kuliah 12: Alam Dari Asap

Harga : RM 12.00 ( Tidak termasuk perbelanjaan pos )
Ketebalan : 104 muka surat.

Cara Membeli :
1.Buat tempahan melalui email : faizal.jmpk@gmail.com atau sms ke no. h/phone 016-5670548 dengan maklumat :
a. Nama
b. Jumlah Unit.
c. Alamat.
2. Masukkan wang tempahan ke nombor akaun : 08013023334295 ( Bank Islam).
3. Sahkan kemasukan duit dengan email atau sms no.h/phone seperti di atas.
4. Penghantaran akan di buat.





2 comments:

penerus_langkah said...

salam Tuan...
jumhur ulama' mengatakan tarikh 12 Rabiul Awal merupakan tarikh Maulid Nabi...
timbul pula kenyataan bahawa apabila masa diundur (utk pengiraan) didapati tarikh 12 itu bukan pada hari Isnin...sedangkan Rasulullah lahir pada hari Isnin (disebut dlm hadis sohih0
kenyataan tersebut seperti mahu menolak mentah2 pendapat jumhur ulama'
mohon sedikit ulasan...

al-Zarqali said...

Jumhur Ulama' sepakat menyatakan bahawa hari Isnin adalah hari kelahiran Rasul SAW. Ini berdasarkan banyak hadis-hadis yang sahih. Ibn Kathir dalam Bidayah menyatakan bahawa tiada khilaf dalam masalah ini. Namun ada pendapat yang asing menyatakan hari Jumaat adalah hari kelahiran Rasul SAW. Ibn Dahiyah menyatakan ini setengah dari pendapat Syiah yang berasaskan hadis yang dhoif.Walluhua'lam