Topik Pilihan

Tuesday, February 28, 2012

Istiqbal Planet Marikh




Pada jam 4 pagi 4 Mac 2012 nanti, planet Marikh akan berada tepat di kedudukan istiqbalnya. Kecerahan yang amat ketara dari permukaan Planet Marikh ini dapat diperhatikan dengan jelas di langit timur bermula selepas terbenamnya matahari 3 Mac 2012 (Sabtu malam Ahad).

Istiqbal bermaksud, Matahari, Bumi dan Marikh berada pada satu garisan yang sama. Ia berlaku apabila pergerakan Bumi di dalam orbitnya, telah membawa Bumi melintasi Marikh.

Fenomena ini berulang setiap 2 tahun 2 bulan, atau 26 bulan.

Kenapa fenomena ini menarik perhatian ahli astronomi semua?

Ini adalah tidak lain, jika dilihat dari sudut sains, kerana planet Marikh ini kecil daripada Bumi. Saiznya lebih kurang separuh sahaja daripada saiz planet kita.
Oleh itu, apabila ia berada jauh dari Bumi, ia amat kecil dan susah untuk melihat permukaannya, menerusi teleskop-teleskop yang ada. Namun, apabila ia hampir dengan Bumi (di dalam kes ini, ketika istiqbal), ia menjadi lebih besar dan memudahkan pencerap dan peminat astronomi melihat rupa bentuk permukaannya.

Menerusi teleskop yang menggunakan kuasa pembesaran yang tinggi, kita akan dapat melihat beberapa tompokan hitam. Tompokan ini ialah kawasan permukaannya yang terdiri dari bahan-bahan yang berlainan jenis/warna, akibat dari hentaman meteor, asteroid atau gunung berapi, jutaan tahun dahulu.

Kita juga boleh dapat melihat kawasan kutubnya. Menerusi teleskop ia akan kelihatan seperti satu tompok putih di salah satu hujung paksinya.

Marikh juga berputar di atas paksinya, dan waktu putarannya hampir sama dengan Bumi, iaitu 24 jam 39 minit. Ia sebenarnya berputar 40 minit lebih perlahan dari Bumi.

Oleh itu, jika kita perhatikannya (menerusi teleskop) sepanjang malam, kita boleh lihat ia berputar perlahan-lahan, berlandaskan tandaan-tandaan di permukaannya!

Istiqbal seterusnya ialah pada 8 Apr 2014.

*http://www.falak-online.net/portalfalak/node/1293

No comments: