Di sini saya akan berkongsi sebab-sebab, kenapa, mengapa dan bagaimana perbezaan sambutan awal Ramadhan di seluruh dunia ini boleh terjadi. Sebab-sebab terjadinya perbezaan ini saya bahagikan kepada dua sebab, yang pertama ialah kaedah penentuan awal bulan yang berbeza pada tiap-tiap tempat. Manakala sebab yang kedua ialah kerana perbezaan matlak.
Kaedah penetapan awal bulan Ramadhan yang berlainan mengikut kawasan menyebabkan terjadinya perbezaan permulaan puasa di setiap negara. Pada hari ini, kaedah yang digunakan di negara-negara Islam dalam menetapkan tarikh 1 Ramadhan adalah berdasarkan :
• Rukyah
• Hisab falak
• Rukyah dan hisab falak
Rukyah
Dalam masyarakat umat Islam, kaedah merukyah hilal atau melihat anak bulan merupakan perkara terpenting untuk menentukan permulaan awal bulan terutamanya Ramadhan dan Syawal. Namun, disebabkan kedudukan geografi sesebuah tempat, maka sambutan awal puasa dan hari raya berlaku pada hari yang berlainan mengikut tempat masing-masing. Faktor berlakunya perbezaan ini kerana pada suatu tempat, anak bulan tidak kelihatan semasa ia dirukyah tetapi di tempat lain ia kelihatan. Hal seperti ini sering terjadi di negara besar seperti India.
Sebagai contoh, merukyah anak bulan di Malaysia adalah suatu perkara yang agak sukar dilakukan kerana langit utamanya di sekitar ufuk sering dilindungi awan tebal. Tambahan pula, keadaan langit Malaysia yang sering mendung di waktu petang menyukarkan lagi usaha melihat anak bulan. Lebih menyulitkan apabila ketinggian anak bulan pada hari merukyahnya iaitu pada 29 Syaaban atau 29 Ramadhan adalah begitu rendah dan jarang melebihi 5°. Namun, bagi negara-negara di Asia Barat, anak bulan lebih mudah kelihatan kerana ketinggiannya dari ufuk adalah lebih tinggi dan umurnya yang lebih tua berbanding ketika ia kelihatan di Malaysia.
Hisab Falak
Bagi negara-negara Barat seperti Australia, Kanada dan Amerika Syarikat, mereka menggunakan hisab falak atau perhitungan astronomi sebagai dasar dalam menentukan kelihatan anak bulan. Dengan menggunakan kaedah ini, anak bulan dianggap sudah kelihatan selepas berlakunya ijtimak (bulan dan matahari berada pada kedudukan selari) tanpa mengambil kira sama ada anak bulan berada di atas ufuk ataupun tidak semasa matahari terbenam. Walaubagaimanapun, kemungkinan selepas berlaku ijtimak, anak bulan berada di bawah ufuk semasa matahari terbenam.
Rukyah dan Hisab Falak
Di Malaysia, penentuan pemulaan puasa dan hari raya puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab falak. Data-data falak berkaitan anak bulan diperolehi bagi membantu kerja-kerja mencerap anak bulan pada 29 syaaban dan 29 Ramadhan. Jika anak bulan kelihatan. ....