Topik Pilihan

Tuesday, September 27, 2011

Buku Ithna A’syara Mauduan Fi Ilmi Falak


Alhamdulillah, setinggi kesyukuran pada Allah SWT, atas kebesaranNya, akhirnya buku yang diusahakan dari petikan-petikan kuliah falak di Surau dan Masjid berjaya dihasilkan. Buku yang diberi nama Ithna A’syara Mauduan Fi Ilmi Falak atau Dua Belas Tajuk-tajuk Di Dalam Ilmu Falak adalah koleksi nota-nota kuliah ilmu falak yang disusun sebagai modul kuliah falak di Masjid dan surau untuk 12 sesi. Ia adalah koleksi dari siri-siri kuliah yang telah saya berikan di masjid dan surau sekitar Ipoh. Setelah lambakan nota-nota yang disusun, sesekali bila cuba mencari balik nota-nota tersebut, kadang-kadang hilang, terdelete, atau tidak tahu mana letaknya. Maka, saya cuba menyusun kembali dalam bentuk modul buku.


Asalnya saya berharap buku ini nanti, dapat dijadikan rujukan oleh para ahli jamaah masjid dan surau yang ke kuliah saya, yang memang sangat mengharapkan sebuah buku yang dapat dijadikan rujukan dan catatan mereka. Oleh kerana itu setiap tamat tajuk kuliah di dalam buku ini, saya sertakan ruang untuk catatan bagi sebarang tambahan nota. Namun, Insya Allah ia juga sesuai bagi tujuan bacaan ringan bagi sesiapa yang mahu memahami ilmu falak. Penulisan buku mengambil pendekatan penghuraian ilmu falak berdasarkan sandaran al-Quran dan al-Hadis seperti mana yang telah dilakukan pendakwah terkenal Dr. Zaghlul Najjar.


Walau sedikit keraguan ketika mahu mencetak buku ini dan mengedarkannya kepada masyarakat, samada ia mampu memberikan apa yang masyarakat mahu dari sebuah buku falak, namun saya serahkan kepada Allah SWT. Apa yang penting buku ini dapat memberi kesinambungan pada dunia falak. Saya cuba mengumpulkan segala pandangan guru-guru saya dan tokoh dalam bidang berkaitan agar ilmu yang mulia ini mampu berkembang di tengah masyarakat.