Topik Pilihan

Monday, April 25, 2011

Siri Kitab Rujukan : Pati Kiraan

Pati Kiraan

Pengarang : Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki Al-Azhari

Tahun penerbitan : 1357 H/1938 M

Bidang : Hitungan waktu solat dan arah kiblat

Naskhah ini mengandungi perbincangan kaedah-kaedah hitungan falak dengan menggunakan sifir logaritma. Bersama-sama makalah ini, terdapat keperluan menggunakan sejumlah jadual falak dalam bentuk lampiran. Jadual ini terdiri daripada jadual thul Matahari, nilai penyamaan masa (tadcdil al-waqt), jadual nisfu qaus bagi kedudukan Matahari yang sepadan dengan mel tertentu, jadual waktu zuhri, contoh-contoh hitungan waktu solat dan arah kiblat serta koordinat geografi 136 lokasi seluruh dunia. Pada pendahuluan makalah ini, dijelaskan penggunaan logaritma dalam hitungan matematik serta huraian beberapa istilah dan unsur koordinat yang biasa digunakan dalam hitungan falak. Antaranya, longitud Matahari (thul as-syams), sudut istiwa atau mel Matahari, ketinggian Matahari yang maksimum dalam pergerakan harian (ghayah irtifa), koordinat geografi bumi (latitud dan longitud), ekliptik Matahari (dairatul buruj/mel), separuh bulatan siang dan malam (nisfu qaus an-nahr wal lail), geometri sfera langit, definisi buruj serta luas kawasan sempadan sesuatu buruj. Seterusnya, kaedah pengukuran dan penentuan latitud tempatan dengan Rubuc Mujayyab dan nilai longitud dengan kaedah perbandingan waktu di antara dua tempat. Secara berperingkat, Syeikh Tahir memperkenalkan unsur-unsur yang akan digunakan dalam hitungan falak. Misalnya Bab 4 sehingga Bab 6, mengandungi kaedah hitungan sudut jam Matahari (fadhal al-dhair) dan arah Matahari (samt syams) dengan menggunakan nilai ketinggian Matahari yang diketahi atau diukur. Kaedah-kaedah ini dengan contoh hitungan dijelaskan terlebih dahulu sebagai persiapan untuk hitungan waktu solat dalam bahagian yang sama. Langkah-langkah hitungan sudut jam Matahari dijelaskan terlebih dahulu menggunakan rumus sfera waktu (muthallath al-waqt), sebagai persiapan hitungan waktu solat. Hitungan arah kiblat pula dibincangkan dengan tiga kaedah, iaitu dari ‘zij al-marhum Ridzuan Afandi’, kaedah oleh Syeikh Abi Fadhal dan kaedah yang terdapat dalam buku-buku ilmu pelayaran. Pada bahagian akhir Pati Kiraan (huraian kelapan), mengandungi perbincangan tentang ‘mengenal garis tengah hari dan mendirikan panjang mihrab’ serta pengenalan penggunaan peralatan kompas dan teodolit. Bagi penggunaan teodolit, Syeikh Tahir membincangkan penggunaannya dengan tanda rujukan titik utara yang telah ditandakan dengan kompas. Kompas berkenaan pula hendaklah terlebih dahulu diperbetulkan arah utaranya pada ‘garis tengah hari’. Dengan ini, sudut kiblat yang diukur dengan teodolit dari utara menjadi azimut kiblat. Akhirnya sebagai kemuncak dari hitungan arah kiblat, Syeikh Tahir membincangkan penandaan garisan asas bangunan masjid dengan menggunakan garisan arah kiblat yang telah ditandakan.

Secara keseluruhan dapat dirumuskan bahawa

Friday, April 22, 2011

Ku sangkakan berawan, rupa-rupanya....

Setelah beberapa hari mengalami zon mendung dari siang sampai ke malam hingga mengakibatkan beberapa siri cerapan terpaksa ditunda, akhirnya malam tadi 22 April 2011 jam 12.30 malam, sang purnama menjengahkan cahayanya. Walau keletihan beriadah badminton namun semangat terus membara secerah cahaya sang purnama. Berbekalkan teleskop Celestron 5 inch manual EQ mount, zainuddin bersama beberapa orang rakan sepermainan badminton di Dewan Kg Serdang Permai, Simpang Pulai telah berjaya mencerap sang purnama serta sang zuhal. Lebih mengujakan kebanyakkan rakan beliau merupakan kali pertama melihat bulan melalui teleskop. Bermula dari kanta mata bersaiz 40mm, 30mm, 26mm, 15mm dan akhir sekali disertakan dengan 2X lensa Barlow, imej kawah bulan amat jelas kelihatan. Tidak kurang juga keasyikan mereka yang turut berusaha merakam imej bulan dengan menggunakan kamera handphone dan kamera kompak.

Seterusnya, teleskop dihalakan pula menjejaki planet Zuhal yang tinggi berdekatan titik zenith. Lebih terpegun apabila masing-masing dapat menghayati keindahan planet zuhal secara langsung melalui mata sendiri. Bergilir-gilir mengambil peluang untuk melihat betapa hebatnya ciptaan Yang Maha Esa.

Sehingga jam di tangan menunjukkan pukul 2 pagi, barulah masing merasakan bahawa masih ada urusan kerja yang perlu dilakukan esok hari, maka masing-masing mengambil keputusan untuk pulang bersama manisnya pengalaman melihat bulan dan planet zuhal melalui teleskop. Bahkan ada yang menyatakan perlunya diadakan lagi peluang seperti ini pada malam minggu ini selepas beriadah badminton. InsyaAllah akan bertemu lagi...